Photobucket Photobucket

Jika rasa sedih...



Jika rasa sedih itu adalah air
Biarlah ia mengalir ke akar-akar pohon, ke tanah-tanah gersang, ke tasik-tasik yang kekeringan
Semoga ada manfaat kepada yang lain
Tapi janganlah ke mata ku
Kerana sudah terlalu banyak air yang mengalir dari situ
Kerana ku takuti air dari mata ku itu tidak mampu memadamkan api neraka Mu, Ya Allah

Hanya membawa kepada kemurkaan Mu



Jika rasa sedih itu adalah angin
Biarlah ia menghembus lembut ke hamparan-hamparan yang ketandusan
Ke kawanan burung yang mendambakan angin
Semoga ada manfaat kepada yang lain
Tapi janganlah ke jiwa ku
Kerana sudah terlalu lama angin yang bergelodak di situ
kerana ku takuti angin dalam jiwa ku itu tidak mampu menjadikan ku kuat untuk ke jalan Mu, Ya Allah.
Hanya membawa kepada kemurkaan Mu


Jika rasa sedih adalah ketajaman
Biarlah ia digunakan untuk menghunus musuh-musuh Islam
Untuk mengasah akal para pejuang agama
Semoga ada manfaat kepada yang lain
Tapi janganlah ke hati ku
Kerana sudah terlalu dalam luka yang terhiris
Kerana ku takuti ketajaman ke hati ku itu tidak mampu menjadikan hati ku ikhlas untuk Mu, Ya Allah
Hanya membawa kepada kemurkaanMu


Jika rasa sedih adalah cahaya dari Allah
Biarlah ia terpancar ke dalam mata ku, jiwa ku, hati ku dan ke seluruh alam
Agar semua dapat merasai cahaya keindahannya itu
Cahaya petunjuk dari Mu , Ya Allah
Tanda kasih , cinta, ingatan dari 
Mu Yang Maha Agung, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Mengasihani, Yang Maha Pencinta
Yang telah menciptakan segala-galanya


Daripada tiada kepada ada
Agar semuanya kembali kepada Mu , Ya Allah
Kembali sujud kepada Mu
Kembali menuju ke jalan Mu
Kerana Engkaulah destinasi cinta yang hakiki








Kalaulah bukan kerana-MU


Kalaulah bukan kerana-Mu wahai Allah 

Aku sudah pun berhenti
Berhenti melangkah
Berhenti bernafas

Bukan mudah wahai Tuhan
Kerana aku punya banyak kelemahan
Adakala tersungkur
Adakala berdarah
Di hempas badai kehidupan


Tetapi Engkau suruh aku jangan berputus asa dari Rahmat-Mu
Engkau suruh aku berusaha
Dengan setiap ketentuan-Mu
Engkau ingin aku redha







Maka, kerana-Mu wahai Tuhan
Aku masih cuba untuk melangkah
Tidak mahu menamatkan semua
Kerana Engkau Ya ALLAH
Kerana Engkau  Yang Maha Pengasih


Kalaulah bukan kerana-MU
Aku tidak akan di sini..



Hina nya diri bila tidak punya apa-apa.....


Alhamdulillah...segala puji hanya bagi ALLAH, Tuhan sekalian alam..

Luahan hati kali ini mengenai sifat manusia di sekeliling kita...Tak kiralah keluarga sendiri atau sahabat handai..atau sesiapa sahaja. Jika terlihat manusia kaya raya, kerja hebat, maka tarafnya tinggi di mata masyarakat. Jika tidak punya harta, tidak punya kerja hebat, maka tarafnya rendah malah mungkin dipandang hanya sebelah mata.. Seolah-olah taraf kehinaan seseorang, kita yang tentukan.' Hebat' sungguh ye manusia? 

Tiada siapa pun di dunia ini ingin hidup susah. TIADA SIAPA. Yang saja cari susah? Mungkin ada...tapi saya yakin ia juga tidak disengajakan. Tidak diniatkan. Tanyalah siapa sahaja, semua mahu berjaya..hidup senang, bahagia...Tapi kita sebagai hamba hanya mampu berusaha . ALLAH tentukan segala-gala. Jika susah, orang akan kata, 'kau tak cukup usaha'..'hidup tak berkat'..'sengaja cari susah'...Memang mudah melontar kata-kata...lidah tidak bertulang kan? 

Jika dinilai kebahagiaan dan keberkatan hidup dari sudut harta, maka Rasullullah SAW adakah tidak bahagia? Rasulullah SAW tidur hanya beralaskan tikar hingga berbirat belakang Baginda..adakah Baginda tidak cukup usaha untuk membeli tilam empuk? Rasullullah mengikat perut dengan batu kerana lapar akibat tidak makan berhari2...adakah hidup Baginda tidak berkat? 

Muhasabahlah diri. Hitunglah nikmat-nikmat ALLAH yang terlalu banyak telah kita ambil secara percuma. Bukankah semakin senang kita, semakin banyak kita 'berhutang' dengan ALLAH? Semakin akan ditanya ALLAH di hari pembalasan kelak? Ingatlah, di padang masyar nanti, fakir miskin yang hidup susah itu didahulukan ratusan tahun dari mereka yang hidup mewah .

Berhentilah menghukum. Berhentilah menilai orang lain. Bukankah lebih baik menghulurkan bantuan, mendoakan dan beri sinar harapan kepada mereka yang di katakan 'bertaraf hina' itu?




Mulakan langkah........



Alhamdulillah....pagi ini saya dapat mulakan hari dengan ayat-ayat suci Al-Quran, zikir dan doa. Walau pelbagai permasalahan menghimpit diri, terasa ALLAH Maha Baik kerana masih memberi ketenangan ke dalam hati saya sehingga saya boleh tersenyum manis pagi ini...Alhamdulillah, segala puji hanya bagi-MU Ya ALLAH.... :)



Bukan mudah menempuh dugaan ini..atau saya lebih akui dugaan ini adalah  kafarah/ balasan dari kesalahan2 saya yang lalu. Mak saya pesan, banyakkan istighfar, setiap masalah atau ujian sekarang adalah dari tangan kita sendiri di masa lalu. Dengan linangan air mata, saya mengakui dengan senyuman pahit. Mak...insan paling mulia dalam hidup saya. Sentiasa bersama dan menerima saya ..sehingga saat ini. (T_T)



Sampai disini sahaja dulu...azan zuhur dah berkumandang....jom solat jom! :)

**to be continued**

Doa Al-Mathurat


Ya ALLAH, kurniakanlah kepada kami lidah yang lembut basah kerana mengingati dan menyebut nama-MU, hati yang penuh segar mensyukuri nikmat-MU dan tubuh badan yang ringan (rajin) menyempurnakan ketaatan kepada perintah-MU.

Ya ALLAH kurniakanlah kami iman yang sempurna , hati yang kusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap.
Ya ALLAH, kurniakanlah kami cara hidup(Din) yang mantap, selamat dari segala bahaya. Kami memohon Ya ALLAH, kecukupan dari segalanya sehingga tidak sampai kami meminta-minta daripada orang lain.

Berikanlah kami , Ya ALLAH, iman yang sebenar-benarnya sehingga kami tidak lagi merasa takut, mengharap dan menyembah selain daripada-MU.

Kurniakanlah naungan rahmat-MU kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sahaja yang bersama-sama kami.

Janganlah Ya ALLAH, Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri walaupun pada kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih singkat daripada itu. Ya ALLAH Ya Tuhan Kami, Engkau Tuhan Yang Maha Memperkenankan segala permintaan.

Selawat dan restu-MU untuk junjungan kami Muhammad SAW, Nabi yang mulia dan kepada keluarga Baginda dan para sahabat Baginda seluruhnya.

























Secara peribadi nya, jika dalam sehari saya tidak membaca al-mathurat @ zikir, jiwa saya akan mudah rasa tertekan dan memberontak. Di samping dapat menenangkan jiwa, bacaan al-mathurat banyak terkandung fadhilat jika kita fahami maksudnya..
Jom baca Al-Mathurat jom! :) 

Tiada duka yang abadi...



Tiada duka yang abadi di dunia
Tiada sepi merantaimu selamanya
Malam kan berakhir, hari kan berganti
Takdir hidup kan di jalani

Tangis dan tawa nyanyian yang mengiring
Hati yang rindukan cinta di jalan-Mu
Namun ku percaya hati meyakini
Semua akan indah pada akhirnya

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki s'gala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini

Waktu berputar rembulan dan matahari
Bunga yang mekar akan layu akan mati
Malam kan berakhir, hari kan berganti
Takdir hidup kan di jalani

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki s'gala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini
Harap ampunkan hamba-Mu ini
















Saya suka sangat lagu ni..penulisan dari Opick yang sangat menyentuh hati....(T_T)